Sunday, 24 January 2021

Mimpi Atuk

Atuk. Ini arwah datuk saya Haji Mohd Noh, bapa Mak saya. Saya rasa Atuk saya ni antara orang yang paling warak saya pernah jumpa. Pada usia 70an beliau mula hilang pendengaran. Tapi hidup beliau sentiasa dengan Al Quran, dengan kitab-kitab hadith dan sebagainya. Kalau Hari Raya, semua orang akan dapat duit raya RM1 dari Atuk, kerana Atuk kata nak sedekah. Atuk selalu ingatkan, zikir itu bagus. Tetapi zikir paling baik adalah Al Quran. Seminggu sebelum Atuk meninggal, Atuk tanya Mak. Masa tu Atuk masih tinggal di rumahnya, tak jauh dari rumah Mak saya. Atuk tanya, dalam bahasa jawa, "Hari ini hari apa?" Mak saya jawab, "Hari Isnin." Atuk jawab, "Isnin depan nak balik." Mak saya tanya, "Isnin depan nak balik mana, Pak? " Atuk cuma kata, "Nak balik sana. Dah, sudah." Sambil melambai tangan menyuruh Mak saya balik, selepas Mak hantar makanan. Rupanya Atuk nak pergi Isnin depan itu. Waktu itu saya sedang sarat hamil Uwais. Usia Atuk 90an. Semalam saya mimpi Atuk. Atuk muda, wajah Atuk kacak sekali. Ma shaa Allah saya tak pernah nampak Atuk masa muda begitu, tetapi wajah Atuk nampak berseri sekali. Dan saya rasa gembira sekali dapat jumpa Atuk. Walaupun sekejap. Alhamdulillah, mudah-mudahan Atuk berada di dalam taman-taman syurga. Semoga Atuk mendapat pahala yang mengalir kerana Atuk mengajar Mak mengaji, Mak mengajar saya mengaji, saya pula mengajar anak-anak saya mengaji. Mudah-mudahan nanti kita berjumpa di syurga ya Atuk. Rindu Atuk. Rindu Mak juga. Semoga Allah pelihara semua warga emas yang kita sayangi in shaa Allah. Tiada perlindungan yang lebih hebat, berbanding perlindungan dariMu ya Allah.

Tuesday, 12 January 2021

Nafas PKP 2.0 13 Jan 2021

Lama dakapan suami saya sebelum beliau pergi bertugas pagi ini. Klinik baru nak bernafas, pesakit baru nak bertambah. Pasti akan terkesan semula selepas ini. Ada staff perlu digaji. Ada sewa kedai perlu dibayar. Belum lagi difikir, dengan setiap pesakit yang datang, ada risiko Covid juga. Tiada kata-kata yang lahir dari mulutnya tentang kerja, hanya katanya risau pelajaran anak-anak. Saya pun tidak terkata apa-apa. Hanya teringat satu hadith yang Ustaz Abd. Muien pernah sebutkan di dalam kelas. Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714) In shaa Allah, usah sedih, sahabat baikku. Usah bimbang, kawan-kawan semua. Allah hapuskan dosa kita, in shaa Allah. Selagi kita bergelar Muslim. In shaa Allah. Allah sentiasa ada. #PKPMalaysia2021

Sunday, 3 January 2021

Buang masa temankan isteri shopping?

Tadi pergi beli barang-barang sekolah anak dengan Encik Suami. Beritahu dia, saya nak singgah kedai baju kesukaan saya di Seremban ni. Dia OK saja, tunggu di luar kedai. 15 minit saya pusing-pusing dalam kedai, ada yang berkenan warna, tiada saiz. Ada yang ada saiz, tiada potongan yang saya suka. Akhirnya saya keluar tak beli apa-apa. Encik Suami tanya, "Eh tak ada ke?" Saya pun cakap, "Tak adalah, macam yang saya beli dulu. Saya suka baju tu, material dia sesuai pakai dalam aircond. Cutting pun cantik. Dah tak ada. " Dia jawab, "Alah, sayang betul." Wajahnya ikhlas betul. Sambil dia ajak pula saya tengok gerai-gerai lain di sekitar mall, jika ada blouse seperti yang saya mahu. Puas membelek, tiada yang berkenan, saya pun ajak masuk Mydin cari barang anak-anak. Beli barang anak-anak, dia tolong saya ambil barang anak-anak boys, saya pilih barang anak-anak girls. Secara jujur, hari ini saya rasa sangat disayangi, walaupun tiada acara makan berdua, berjalan berpegangan tangan, mahupun dibelikan apa-apa hadiah istimewa. Ya, begitu ya, kawan-kawan. Seorang isteri tu, kadang bukan mahu sesuatu yang istimewa dari seorang suami. Tetapi yang paling istimewa, adalah PERHATIAN yang diberikan 1) menunggu isteri memilih pakaian, tanpa memberi had masa 2) tidak menunjukkan wajah kecewa atau marah apabila isteri dah masuk kedai lama, tapi tak beli apa-apa pun 3) acknowledge atau iyakan perasaan isteri yang hampa apabila sesuatu yang dihajati itu tidak ada. Kami ni nak meluah saja, bukan sentiasa nak minta solution atau penyelesaian 4) Jika ada masa terluang, temankan isteri pilihkan pakaian untuk dia. Lebih bagus jika pilihkan yang patuh syariah 5) Sama-sama membantu mencari barang keperluan sekolah anak-anak, dan tidak menyerahkan semuanya 100% ke bahu isteri, walaupun isteri adalah surirumah dan suami beri semua duit yang diperlukan. Lebih best apabila suami pilihkan pattern beg sekolah atau beg pensil anak. Entah, bagi sayalah, apabila nampak seorang ayah bersungguh-sungguh menyiapkan barang sekolah anak-anak, hati ini tersentuh dan berdoa pada Allah, agar setiap ringgit yang dibelanjakan, Allah ganjari dengan pahala sedekah in shaa Allah. Selesai pilih barang anak tadi, sempat Encik Suami pilih satu kemeja untuk dirinya sendiri. Dia kata, "Awak ada baju warna ni kan? Nanti kita boleh pakai sama-sama. Matching." Heheh. Betul lah orang kata. Orang lelaki ni, makin tua makin romantik. Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah Makin berusia makin suka shopping di Mydin

Wednesday, 30 December 2020

Thank you 2020, Welcome 2021

Things (and people) that I’m grateful for in 2020 - Tested twice for Covid, once when I returned from Singapore in February with cough, once for a simple procedure in December, both came back as negative, Alhamdulillah. - I still have all my immediate family members with me , alive and healthy. They love me the way I am, my kids might hate me sometimes when I restrict their screen time but well, I AM their mother , its not natural if they don’t hate me sometimes - I left the job that I thought I would be forever in, tendered the resignation literally ONE day before the MCO in March 2020, with all the fear and the uncertainties , on the face of the biggest economic crises the world had ever experience , but Alhamdulillah I believe in the 4 months of istikharah I did, and it is the best decision I have made. - I had to commute 70km a day to work, in contrast to a mere 15 minutes away for my old job, but Alhamdulillah, I got my dream car that I have always, always wanted since I was 17. Its not a Beemer or a Mercedes, but it is a brand new car, and for that I am very grateful. - I became a landlord for the first time in my life, I rented out the house that I bought in Bangi. I love that house, spent so much on it, on the kitchen cabinets, the curtains etc. We thought we would retire and live there near my in laws, but my in laws decided to move to Seremban. But Alhamdulillah alaa kulli hal, it forced me to save some money and spend less on shopping. - Alhamdulillah I found a small house that I like in my dream area, that I have always been rooting to live in, even before Uwais was born. It’s the very reason I chose MSUMC over all the other private hospitals that offered me. We are still in the process of buying that small house but in shaa Allah, may Allah make ease of it. - I am grateful for all the genuine friends that I have until today. They might not be a lot in numbers, but they means a lot to me. They know my fear, my weak points, my strength and vision, and they are ready to listen, to encourage, to motivate and to be there when I need them. I can be me, when I am with them. - Alhamdulillah I am very grateful for Ustaz Abdul Muien and Ghulam Al Dakwah for the tadabbur classes that I have every week, for the past 6 years. Without them , I would be reading Al Quran without understanding what does Allah wants me to understand. May Allah reward them in shaa Allah - Last but not least, I am forever grateful for my partner, my soulmate, my husband, my best friend, the sinoatrial node of my heart. In October 1998, I first set my eyes on you, and I knew at once it is you that I want to spend the rest of my life with. I am not perfect, and neither are you, but us combined, we complement each other. 2020 has not been the easiest year for us. I have shed more tears that anyone else have seen but you. You stood by me, through all of them. May Allah protect us all, and reunite us in Jannah, where there will only be happiness and joy, for that is the truest form of success. In shaa Allah. Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah 31st December 2020 Shah Alam

Tuesday, 22 December 2020

Avani Sepang, hotel di atas air, syurga buat keluarga

 


Avani Sepang Goldcoast Resort 

Kali terakhir kami ke sini adalah pada 2014. Semasa itu, kami datang bersama keluarga abang saya kerana beliau adalah ahli kelab di Avani ini. Apa yang saya ingat adalah indahnya hotel di atas air ini , dan cantiknya pemandangan semasa matahari terbit .

Kenangan 2014, anak-anak pun kecil lagi masa ni 


Oleh kerana kita masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat , kami memutuskan sempena cuti sekolah kali ini, kami akan bercuti di sekitar Selangor sahaja. walaupun semenjak 7 Disember yang lalu, pergerakan merentas negeri telah dibenarkan, kami tidak begitu yakin hendak bercuti jauh kerana jumlah kes Covid masih terlalu tinggi , terutamanya di negeri Selangor.

Saya telah menempah bilik kami di Avani Sepang sejak bulan Oktober lagi. Vila dengan 2 bilik tidur, harga biasa mungkin sekitar RM800 satu malam , menjadi lebih RM1000+ satu malam kerana saya memilih untuk mengambil sarapan pagi, dan fleksibiliti yang membolehkan saya membatalkan tempahan sehingga 10 hari sebelum perjalanan. Tempahan adalah melalui Agoda.com


Vila 2 bilik ini ternyata sungguh tidak menghampakan kerana sebenarnya ia ada 3 bilik! 1 bilik tidur dengan katil bersaiz queen, satu bilik dengan 2 katil bersaiz single, dan satu bilik dengan sofabed atau katil harian, yang boleh muat ditiduri seorang kanak-kanak . Ruang tamunya juga selesa , dengan 2 sofa single seater, dan 1 sofa double seater. Terdapat juga balkoni yang menghadap laut, dengan pemandangan yang amat mendamaikan.






Kami tiba ke Avani, setelah menempuh perjalanan selama sejam 30 minit dari Batu Caves. Perjalanan sejauh 100km ini Alhamdulillah berjalan lancar, dengan satu sekatan jalanraya sahaja di Sungai Pelek. Polis hanya mahu memastikan kami mematuhi SOP jumlah penumpang di dalam kenderaan, dan memeriksa lesen pemandu suami , memastikan kami bukan warga asing .


Kami tiba di Avani jam 4.30 petang, disambut dengan senyuman manis petugas di pintu hadapan. Setelah mengambil nama dan suhu badan, kami dibenarkan ke lobi. Di lobi, ada petugas menanti, dan membantu memindahkan barang-barang ke troli.


SOP tetap dipatuhi, dengan scanner suhu badan, dan QR code MySejahtera tersedia.



Saya lihat ramai betul orang menanti untuk check in! Saya ingat saya dah lambat, kerana setahu saya masa untuk check in adalah jam  3 petang.


Ketika saya beratur, ada 4-5 orang di hadapan saya. Sempat saya terdengar beberapa orang mengeluh, malah ada yang mula marah-marah , katanya sudah 2 jam menunggu.


Alamak. Saya pun cepat-cepat berdoa, mudah-mudahan urusan check in kami dipermudahkan. Sudahlah hari itu, 20.12.2020 adalah hari birthday saya dan suami!


Alhamdulillah saya sudah menelefon pihak hotel seminggu yang lalu bagi memastikan tempahan saya memang ada.


Lebih kurang 20 minit menunggu di barisan, sambil suami saya menjaga anak-anak lelaki, dan menjaga kek ulangtahun kami, giliran saya pun sampai. Suami saya meletakkan kereta di tempat letak kereta sementara. Nanti akan perlu dialihkan di tempat khas, yang mana akan akan shuttle disediakan untuk ke lobi.


Petugas meminta kad pengenalan saya, dan Alhamdulillah tak sampai 5 minit, beliau berkata, “Dr Rita Aisyah, booking for two 2 bedroom villa for 2 nights, ya? Payment is already collected so we ill not collect deposit. One room is ready, Dr, but the other is one is not so we will send you to that room first. When the other room is ready, we will send the key to your room. “


Ma shaa Allah Alhamdulillah, lega sangat rasanya. Syukur, di saat orang lain ada yang masih menunggu, bilik kami dah siap. Risau juga kerana kek yang kami bawa, tak boleh terlalu lama di luar peti sejuk, sebenarnya.


Alhamdulillah juga lebih kurang 5 minit kemudian, anak-anak perempuan kami sampai bersama makcik mereka (adik suami saya), serentak dengan mertua saya, yang turut kami raikan ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 41.


Dari lobi, kami dibawa ke bilik kami di penghujung pelepah (trunk) 3 , dengan menaiki buggy. Kelakar juga Uwais tertanya-tanya, “Nak bagi apa, Ummi?” . Saya pun jawab, “Kereta ni namanya buggy, bukan bagi”.


Seronok melihat kegembiraan di wajah anak-anak. Ini treat untuk mereka juga, setelah hampir setahun bersekolah secara online.


Keindahan hotel ini, keredupan suasana, kecantikan susunatur bilik, keramahan staff, masih tidak berubah seperti 2014 dahulu.


Paling istimewa, ada dekorasi indah menanti kamar tidur kami di bilik 330 , sempena ulang tahun kami. Dan oleh kerana kami menempah 2 bilik, hiasan ini ada di kedua-dua bilik! Terima kasih AVANI!

Terasa seperti berbulan madu, pun ada!



Alhamdulillah petang itu ,dapatlah kami merakamkan detik istimewa kami, meraikan ulangtahun ke 40 kami berdua di Avani Sepang, dikelilingi insan-insan tersayang. Pastinya ia akan lebih indah jika Mama dan Ayah ada bersama, tetapi Alhamdulillah baru sahaja berjumpa mereka minggu lalu.

 

Saya kongsikan gambar-gambar di sekitar Avani Sepang ini.

Main trunk atau batang pokok kelapa kepada formasi palm tree resort ini. 




Ini buggy besar yang membawa guest dari lobi ke Central Area atau di tengah-tengah rimbun pelepah pokok kelapa 

Salah satu trunk, atau "pelepah pokok kelapa". Setiap satu trunk menempatkan lebih kurang 30 buah bilik. 

Inilah kawasan Central Area di mana terletak Spa, restoran tempat sarapan pagi dan kolam tenang 

Restoran tempat sarapan pagi secara buffet. Saya ambil gambar pada pukul 12 tengahari maka dah kosong lah. 

Ada QR code untuk masuk ke restoran. 

Deretan kerusi di Central Area yang disediakan bagi pengunjung yang menanti buggy 

Ini contoh buggy kecil yang akan membawa pengunjung ke bilik masing-masing di trunk masing-masing 

Bilik kami di penghujung trunk 3, nuuuun di sana. Hanya pengunjung yang menginap di sini boleh melepasi kawasan ini ya 

Salah satu kawasan rehat di Avani Cafe di lobi. 



Semasa kami masuk, tape ini masih baru menunjukkan bilik ini sudah disanitasi 

Aktiviti- aktiviti yang boleh dilakukan di sini, mungkin tidak sebanyak semasa kami tinggal di hotel lain. Aktiviti berbasikal juga tiada kerana kekangan SOP . Mungkin sukar untuk sanitasi basikal , dengan jumlah pengunjung yang ramai. Ada ruang untuk aktiviti kanak-kanak , tetapi kami tidak sempat mengunjunginya. Uwais lebih minat mandi bath tub! (Alhamdulillah haha!)

 

Masih ada satu pelepah atau trunk AVANI iaitu trunk  dua yang sedang dibaikpulih. Sedikit tidak cantik di dalam gambar, tetapi tiada bunyi bising yang mengganggu percutian kami, Alhamdulillah.

 

Air pantai di sini masih jernih, cuma persisiran pasir pantainya tidaklah seindah di pantai timur. Anak-anak bermain sejam sahaja sudah puas, dan minta balik mandi di bath tub .








Jika mahu mandi kolam , pada satu ketika hanya 10 orang dibenarkan berada di kolam. Waktu paling popular adalah 8 pagi hingga jam 11, dan 4 petang hingga 7 malam. Kolam di buka dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Kolam paling dalam adalah 1.2 meter.


Kami memilih untuk mandi kolam jam 3 petang, kerana jika tidak ramai orang, boleh mandi sesuka hati. Jika ramai orang, had waktu yang dibenarkan adalah setengah jam sahaja satu sesi. Bilik persalinan ada disediakan berdekatan kolam .


Antara plus point Avani Sepang

1)      Bilik yang luas di villa dengan 2 bilik tidur . Sesuai jika satu keluarga dengan 3 orang anak . Oleh kerana kami ada 4 orang anak, dan kami jemput mertua serta adik ipar, maka kami ambil 2 vila . Ada pelbagai pilihan lain seperti family vila , vila 3 bilik dan bilik superior.

2)      Sangat privasi dan sunyi

3)      Staff sangat peramah , baik dari staff di lobi, di restoran, di tepi kolam, staff housekeeping, hinggalah staf engineering yang sedang membuat kerja-kerja baikpulih. Apabila bertemu, tak lokek senyuman dan ucapan salam. Saya bagi 7 bintang!

4)      Perkhidmatan buggy yang baik. Tak perlu risau jika ada warga emas yang tidak larat berjalan. Pemandu buggy pun semuanya peramah, dan tak marah apabila anak-anak saya yang basah selepas mandi laut, nak naik buggy untuk pulang ke bilik hotel semula. Salah seorang anak saya sanggup berjalan.  Encik Azli pemandu buggy sanggup berhenti untuk pujuk anak saya naik buggy, sambil berkata, “Tak apa, kerusi ni waterproof. Nanti boleh lap,” sambil tersenyum di sebalik mask. Anak saya pun naik buggy. Hati saya berkata, susah nak cari orang baik budi macam Encik Azli ni.

5)      Pemandangan yang indah semasa matahari terbenam dan terbit

6)      Mengikut SOP PKPB dengan baik termasuk semasa sarapan pagi, diberikan sarung tangan plastik untuk mengambil makanan.

7)      Pilihan movie yang banyak di TV, dari untuk kanak-kanak hingga kepada action movies, semuanya percuma. Hanya ada kala movie itu tersangkut-sangkut.

Antara poin yang mungkin boleh diperbaiki

1)      Makanan sarapan pagi (buffet) tiada variasi yang banyak selama  3 hari  malam kami di sini . Nasi lemak, roti canai, mee dan bihun sup antara hidangan berat yang ada, diulang untuk hari kedua.

2)      Kami tidak pasti kedai makanan yang berdekatan kawasan sekitar Avani ini . Kami hanya makan di hotel, dan sebahagian makanan kami bawa dari rumah.

3)      Mungkin ketika peak season, ada kelewatan semasa check in, bagi sesetengah pengunjung.

4)      Kami meminta bilik dibersihkan pada hari kedua. Mungkin kerana terlalu ramai pengunjung, housekeeper hanya dapat datang pada jam 5.30 petang. Tetapi ini bukan isu besar kerana kami hanya mahu mereka menyapu bilik dan membuang sampah.

Rata-rata saya memberi 5 bintang kepada Avani Sepang, dan tidak akan teragak-agak untuk datang lagi. Cuma tinggal di hotel di atas air ini, membuat saya teringat Maldives. Alangkah indahnya jika air laut ini biru seperti di Maldives , dan kita boleh turun ke air dan melihat ikan aneka warna.

Saya pun terus masuk ke Agoda, cari hotel seperti itu. Itu diaaaa! Satu malam RM14,000!

Sekian!

Avani pun best! Kbai!

 


Thursday, 26 November 2020

"Saya akan buta ke, doktor?"

 "Semoga kekuatan milikmu" , bisik hati saya, sebelum saya menuturkan kata-kata.


Satu ayat, satu ketika,

bisa mengubah hidup seseorang buat selamanya.


"Maknanya saya akan jadi butalah, Doktor?", tanya pesakit saya yang baru berusia awal 30an.


Saya mengambil sedikit masa, untuk mengatur ayat. 


"Tidak mudah saya nak sampaikan berita ini kepada awak. Tetapi, maafkan saya, Retinitis Pigmentosa, memang penghujungnya awak akan hilang penglihatan mata secara total, " jawab saya, dengan hati yang maha berat. 


Sunyi sahaja bilik pemeriksaan saya. 


Wajah pesakit saya kelihatan  tenang.


Beliau mengangguk-angguk perlahan sambil melihat gambar saraf di dalam matanya.


Mujur juga beliau ada latar belakang sains perubatan, agak mudah untuk saya menerangkan. Beliau pun berpendidikan tinggi, berjawatan kukuh di syarikatnya sendiri. 


Seorang anak muda yang berjaya, pada pandangan saya. 


Menurut beliau, semenjak kebelakangan ini, beliau rasa seolah-olah medan penglihatan tengahnya sedikit kabur. 


"Macam blind spot saya makin besar. Saya tak boleh drive malam dah, doktor." 


Ini kata-kata beliau yang menggetarkan hati saya, tatkala beliau mula bersua dengan saya di bilik pemeriksaan, awal tadi.


Rabun malam adalah simptom awal RP. Ia boleh berlaku secara keturunan, sama ada secara dominon atau resesif. Autosomal dominon selalunya akan mula ada simptom pada usia tua. Kes resesif pula, pada usia kanak-kanak. 


"Subhanallah kesian betul pesakit ini, baru 30an," detik hati saya lagi. 


Saya telah memeriksa mata pesakit ini dengan teliti, dan ternyata terdapat tompok-tompok di sarafnya, yang kelihatan seperti Retinitis Pigmentosa atau RP , iaitu sejenis penyakit keturunan, di mana sel fotoreseptor atau sel penglihatan, bertukar menjadi hitam dan hilang fungsi. 


Setelah beberapa lagi ujian dijalankan, saya terpaksa juga memberitahu beliau diagnosa yang bakal mengubah hidupnya itu. 


"Tiada rawatan ke Doktor?" 


"Buat masa ini, di Malaysia, masih belum ada. Kali terakhir saya ke persidangan antarabangsa di Singapura, mereka ada menyebut di USA sudah ada gene therapy. Tetapi masih dalam peringkat kajian," jawab saya. 


Saya terangkan padanya, saya tidak dapat menjangkakan berapa lama jangka masa yang beliau ada sebelum beliau akan buta sepenuhnya. 


Mungkin 3 tahun, mungkin 10 tahun. 


Saya tidak tahu. 


Tetapi amat penting untuk beliau pulang dan berbincang dengan keluarga. Buat persediaan dari segi mental dan fizikal. Mungkin mula belajar braille. 


Apatah lagi RP pesakit ini adalah variant atau jenis yang cepat melibatkan medan penglihatan tengah, tidak seperti RP yang biasa, yang mana medan penglihatan tengah biasanya tidak terganggu hingga saat akhir. 


Saya cadangkan juga untuk membuat ujian genetik, jika mahu mengetahui jenis RP yang manakah beliau hidapi. Anak-anak beliau juga akan perlu disaring. 


Jika mahu menunaikan haji, saya boleh berikan surat sokongan kepada Tabung Haji.


Kekalkan insuran kesihatan yang ada. 


Ini antara pesanan-pesanan saya. 


Ma shaa Allah kagum saya dengan reaksi wajah beliau yang biasa - biasa saja.


Mungkin tenang pada wajahnya, di dalam hati, hanya Allah yang tahu.


Setelah hampir sejam berdiskusi panjang, pesakit melangkah pulang. 


Meninggalkan saya termenung sendirian, menatap hujan yang membasahi bumi Shah Alam. 


Maha Suci Allah yang tidak pernah menzalimi makhluknya. 


Hadith Rasulullah SAW :


Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda:


"Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya." 


(Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)


Tatkala kita merasakan sukarnya dugaan yang kita hadapi, ada insan lain yang diuji Allah dengan cabaran yang lebih getir lagi. 


Saya doakan buat semua pesakit-pesakit saya, dan semua insan yang sedang diuji dengan sakit, agar ia menjadi penghapus dosa, lantas menjadi asbab buat kalian dan kita semua ke syurga, in shaa Allah. 


Siapalah kita yang mahu mempersoalkan kejadian yang telah ditetapkan Pencipta kita, yang pasti Maha Mengetahui. 


Mungkin pesakit ini hadir, untuk mengingatkan saya agar bersyukur dengan setiap apa yang ada pada saya.


Nikmat mata. 


Nikmat penglihatan.


Nikmat sihat.


Subhanallah. 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Bersyukur dengan peringatan yang selalu hadir bersama pesakit.