Saturday 5 July 2014

Tertipukah kita di bulan Ramadhan?

Salam 8 Ramadhan 1435H

Rasanya belum terlambat untuk saya ucapkan selamat menyambut Ramadhan yang mulia kepada semua pembaca blog ini. 

Apa yang berbeza Ramadhan ini berbanding Ramadhan tahun lalu? Alhamdulillah Wardina anak kedua saya sudah masuk Darjah Satu, jadi sudah mula berpuasa penuh seperti kakaknya Fatimah. Saya tidak memaksa, dan sering saya tekankan untuk solat 5 waktu dahulu, tetapi Alhamdulillah hasil didikan guru-guru di sekolahnya, Wardina sendiri yang bersemangat untuk berpuasa.(Semua kebaikan ini dari Allah). Latihan berpuasa hanya akan kami mulakan apabila mereka sudah bersolat 5 waktu sehari semalam, selama sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum Ramadhan. 

Alhamdulillah Ramadhan ini juga anak-anak sudah mula kelas tahfiz, jadi mereka pulang ke rumah sedikit lewat berbanding biasa. Memang cabaran memulakan sesuatu pada bulan Ramadhan, tetapi saya faham apa yang ingin diterapkan oleh guru-guru, iaitu Ramadhan bukan alasan untuk bermalas-malasan. Rasulullah SAW boleh pergi berperang dalam bulan Ramadhan, apalah sangat kita yang duduk di dalam bangunan sepanjang hari, di bawah dingin penghawa dingin sentiasa.

Apa lagi yang berbeza, tahun ini belum berpeluang lagi saya berterawih di masjid. Anak-anak yang keletihan pulang dari sekolah, meminta agar berterawih di rumah bersama mereka. Maklumlah, ada kalanya mereka berhenti setakat 4 rakaat. Ada kalanya seusai solat Isyak, Wardina sudah terlentok di sejadah. Hendak diberitahu "tak perlu solat terawih", kasihan pula kerana mereka yang bersemangat. 

Alhamdulillah semalam 7 Ramadhan, oleh kerana kurangnya saya ke masjid Ramadhan ini, saya mengambil peluang menghadiri sebuah majlis ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman atau dikenali sebagai UZAR, di surau Mutiara Gombak. 



Majlis ilmu ini terbahagi dua iaitu satu berkenaan permasalahan puasa dari kitab Bidayatul Mujtahid (Imam Ibnu Rusyd) dan kedua iaitu Tipu Daya Syaitan Dalam Ibadah Berpuasa dari Talbis Iblis (Imam Ibn Jauzi). Saya berlindung dari Alah dari sifat riak dan takbur yang menghapuskan amalan. Niat saya berkongsi adalah untuk menyampaikan dan berkongsi ilmu yang saya perolehi, mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan selepas saya meninggal dunia.




Saya ingin kongsikan bahagian ke dua dari masjlis ilmu ini iaitu Tipu Daya Syaitan Dalam Ibadah Puasa. 

Sebelum itu, mungkin ada yang tertanya-tanya, bukankah syaitan telah "diikat dan dibelenggu" dalam bulan mulia ini? Terdapat tiga pendapat berkaitan perkara ini, iaitu:

1) Maksud syaitan terbelenggu itu bukanlah syaitan secara fizikal dirantai dan dibelenggu, tetapi pergerakan mereka yang terbelenggu dan "limited" untuk mendominasi perasaan dan perilaku manusia, dek kerana hebatnya aura Ramadhan. Contohnya, apabila menggoda manusia untuk melakukan maksiat, adakala manusia teringat dan berkata "Eh, bulan Ramadhan ni, tak elok buat macam tu."

2) Ada pendapat mengatakan hanya syaitan-syaitan besar yang terbelenggu tetapi syaitan-syaitan kecil masih ada berkeliaran untuk menggoda manusia

3) Andai syaitan tiada sekalipun, nafsu manusia masih ada, dan ia masih berkemampuan utuk menggoda manusia melakukan dosa. 

Baiklah, seperti yang disampaikan oleh Ustaz Zaharuddin, antara cara syaitan menipu daya manusia semasa melakukan ibadah puasa adalah:

1) MELAKUKAN PUASA SECARA BERSAMBUNG TANPA HENTI

Ini bukanlah untuk bulan Ramadhan, tetapi lebih kepada puasa sunat yang dilakukan setiap hari tanpa henti. Hukum berpuasa secara berterusan selain dalam bulan Ramadhan ini adalah HARAM, seperti yang disandarkan dari hadis Rasulullah SAW :

Abdullah b Amru b 'As berkata: 'Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): 'Wahai Abdullah! Adakah tidak diberitahu kepadaku bahawasanya engkau puasa di siang hari dan berdiri (i.e. bersolat) di waktu malam?' Maka berkata aku (Abdullah): 'Benar! Wahai Rasulullah (s.a.w).' Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): 'Maka janganlah engkau berbuat sedemikian! Berpuasalah kamu dan berbukalah kamu; dan berdirilah (i.e. bersolatlah) kamu, dan tidurlah kamu. Maka sesungguhnya jasad (i.e. tubuh) engkau atas engkau ada haknya, dan sesungguhnya mata kamu atas kamu ada haknya, dan sesungguhnya isteri engkau atas kamu ada haknya.' [Hadith Bukhari, Kitab Nikah]

Puasa yang terbaik adalah puasa Nabi Daud AS iaitu sehari berpuasa, dan sehari berbuka. 

2) BERCERITA TENTANG IBADAHNYA KEPADA UMUM, SEDANGKAN IA ADALAH DALAM PELIHARAAN ALLAH SELAGI DIA MERAHSIAKANNYA

Sekali lagi ini lebih kepada puasa sunat, contoh orang yang berbangga-bangga dengan sudah selesai puasa sunat Syawal. Ini kerana di dalam bulan Ramadhan memang sedia maklum bahawa semua umat Islam wajib berpuasa

Namun saya tertarik dengan ulasan UZAR tentang isu mempamerkan ibadah ini, kerana kata beliau tipu daya syaitan ini ada 3 peringkat iaitu:

a) SUM'AH iaitu mempamerkan puasa, solat dan sebarang ibadah lainnya. Contohnya status , "done mengaji satu juzuk hari ni" di Facebook dengan niat mendapat pujian manusia

b) tingkat ke dua adalah UJUB iaitu kagum dengan diri sendiri. Contohnya " Wah baru 8 hari puasa aku dah sampai 29 juzuk! Orang sebelah ni baru juz 3 nampaknya."
UZAR juga menyebut 3 perkara yang menghapuskan amalan adalah : Bakhil yang diikuti dengan bakhilnya, hawa nafsu yang diikuti dan ujub atau kagum dengan diri sendiri

c) tingkat ke tiga adalah TAKABBUR iaitu menolak kepada kebenaran dan memperlekehkan orang lain. Contohnya , "Wah aku solat terawih 20 rakaat, orang lain dah balik dah sebab solat 8 rakaat je". 
Saya suka mengingatkan diri saya , syaitan tersingkir dari syurga pun angkara sombong dan takbur! 

3) MERASAKAN AMALAN KITA SUDAH BAIK DAN KITA LAYAK MASUK SYURGA (KERANA AMALAN KITA), sedangkan solat, puasa dan ibadah kita takkan mampu membawa kita ke syurga, kerana kita ke syurga hanya kerana RAHMAT ALLAH. 

UZAR menyebut, apabila mempamerkan ibadah, kita mengharapkan pujian manusia. Mungkin dapat pahala amal ibadah itu, tetapi tidak dapat rahmat Allah.

Rasulullah SAW sendiri pernah menyebut kepada Saidatina Fatimah anaknya, "aku ini tidak memberikan apa-apa manfaat padamu di akhirat", yang bererti bukan kerana keturunan maka Saidatina Fatimah akan masuk syurga, tetapi hanya rahmat Allah yang akan membolehkannya ke syurga.

4) SYAITAN MEMPERLIHATKAN AMALANNYA SEMPURNA SEDANGKAN CACA MARBA

Di sini syaitan akan memperelokkan amalan yang buruk, dan membuatkan seseorang itu merasakan amalannya sudah baik. 

5) TIDAK KONSISTEN DENGAN TAUBAT & ISTIGHFAR

Rasulullah SAW ada menyebut di dalam hadis, orang yang dimurkai Allah adalah orang yang masuk ke dalam bulan Ramadhan, dan keluar dari bulan Ramadhan, dalam keadaan dosanya tidak terampun. Taubat itu menurut UZAR, bukan hanya di tikar sembahyang , tetapi termasuk memulangkan barang yang terambil, memohon ampun kepada orang yang diumpat dan sebagainya.

Allah itu amat suka kepada taubat seorang hambaNya, melebihi seorang lelaki yang sesat di padang pasir, tertidur dan apabila dia bangun, unta dan barang-barangnya hilang, lalu dia berkata "baiklah aku tidur untuk mati" (kerana terlalu sedih), dan apabila bangun tiba-tiba dia melihat unta dan barang-barangnya sudah ada disisinya. Satu lagi perumpaan UZAR, sukanya Allah kepada taubat ini melebihi orang yang hampir mati akibat kemalangan (contoh yang diberi adalah kapal terbang yang terhempas dan ada yang terselamat), apabila dia terselamat, maka tidak tergambar kegembiraan itu.

6) RASA (SEMUA AMALAN) SUDAH BETUL DAN TIDAH MAHU BELAJAR UNTUK MEMPERBAIKI SOLAT, PUASA DAN SEBAGAINYA (melalui pembacaan dan sebagainya)

Antara bisikan syaitan adalah , "solat kau dah ok tu, kau kan orang berilmu. Kau tambah saja jumlah solat kau." Ini menyebabkan amal ibadah kita hanya di takuk lama, dan andai ada kesilapan, kita kekal dalam kesilapan itu hingga akhir hayat

7) MEMANDANG KECIL AMALAN ORANG LAIN

Seperti yang saya sebutkan tadi, contohnya pada hari puasa ke 8, kita sudah sampai ke juzuk 29, dan terlihat orang di sebelah kita di juzuk ke tiga. Sebaiknya menurut UZAR, kita berfikir," Uish , aku baru sampai juz 29. Orang sebelah ni dah habis dan second round, dah sampai juz 3 pulak tu! Teruk betul aku ni."

Always think positive of other people dan pandang kekurangan pada diri kita. Pesan UZAR lagi, andai terasa diri hebat, lihatlah video adik Musa dari Indonesia yang hafaz 29 juzuk Al-Quran sedangkan baru berusia 5 tahun setengah.

8) MELALAIKAN DOA

Syaitan akan menggoda oleh kerana kita letih dengan berpuasa, kita dilalaikan dari berdoa, sedangkan doa orang yang berpuasa adalah makbul. Antara tipu daya syaitan ini juga adalah andai kita melafazkan doa dengan mulut tetapi hati tidak memahami apa yang dilafazkan. Dan syaitan juga akan menggoda agar kita mengaminkan sahaja doa imam, tetapi tidak berdoa memohon permintaan sendiri, sedangkan setiap individu ada keperluannya sendiri. 

Menurut UZAR, doa yang paling mustajab adalah doa yang dilafazkan, kemudian diikuti dalam hati, dan waktu yang mustajab doanya adalah 

a) Sebelum dan SEMASA berbuka (bayangkan berbuka di hadapan hidangan yang lazat, pasti amat sukar kerana itu ia amat mustajab)  

b) semasa bersujud kerana ketika itu seorang hamba paling dekat dengan Allah. Andai tidak boleh berdoa di dalam bahasa Arab, dibolehkan berdoa dalam bahasa Melayu (tetapi di dalam hati kerana berkata-kata di dalam solat boleh membatalkan solat)

c) selepas solat fardhu

Sekian perkongsian saya, semoga bermanfaat. Semoga kita dapat mengamalkan ilmu yang diperolehi dan mengelakkan tipu daya syaitan dalam kita beribadah di bulan Ramadhan ini. 

Silakan berkongsi andai dirasakan bermanfaat, kerana yang baik semua dari Allah Subhanahu wataa'la semata-mata.

Doakan saya dan semua muslimin muslimat di dalam naugan rahmat Allah sentiasa, dan semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang lebih baik dari sebelumnya, in shaa Allah amin... 



No comments:

Post a Comment