Tuesday 6 October 2015

Kenangan menjadi tetamu Allah, dua tahun yang lalu.... Ucapan selamattinggal buat keluarga & sahabat...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Semoga sahabat semua dirahmati Allah sentiasa... 

Yang hebat itu Allah dan hanya Allah. Kita hanyalah HAMBA yang mendambakan kasih sayang, belas ihsan dan kurniaan rahmat dariNya setiap masa dan ketika. 

In shaa Allah saya bersama suami Mohd Hafiz Bin Osman, serta mertua akan bertolak ke Tanah Suci esok pagi, dengan penerbangan jam 3ptg dari KLIA. 

Saya ingin memohon seribu kemaafan, sejuta keampunan atas segala kesalahan, kekhilafan dan kejahilan saya selama perkenalan kita, sama ada disengajakan atau tidak.

Saya ingin memohon dihalalkan segala makan minum dan andai ada yang terhutang tetapi belum sempat dijelaskan. 

Perjalanan ini bukan bermula saat mendapat panggilan haji dari Tabung Haji, bukan jua di saat terdetik hati untuk mengiringi mertua yang ingin menunaikan rukun Islam yang ke lima. Perjalanan ini termaktub sejak sebelum ditiupkan roh. Hanya mungkin ketika iman menipis tatkala bergelumang dosa, hati menafi panggilan Baitullah, dengan alasan belum sampai seru, banyak komitmen kerja, anak masih kecil, duit belum cukup dan belum bersedia. Itulah saya setahun yang lalu apabila bapa mertua menyatakan hasrat ke Tanah Suci. 

Tetapi Allah Yang Maha Agung, Raja bagi segala Raja, tiada yang mampu menandingi kuasaNya. Mac tahun ini kami dikejutkan dari dodoian impian dunia yang tidak berkesudahan, dengan pergiNya seorang sahabat, Kak Bad , pada usia 34 tahun. Beliau pergi tatkala anak-anak masih setahun jagung, secara tiba-tiba setelah doktor mendiagnosa penyakit beliau 6 bulan sebelumnya. Antara yang beliau lakukan ketika di hujung usia beliau, tatkala kesakitan merangkul segenap tubuh, dengan kudrat yang terbatas, adalah mengunjungi Baitullah untuk menunaikan umrah. 

Pemergian beliau seolah-olah satu gegaran tubuh, umpama seorang ibu mengejutkan anak yang lena diulit mimpi tatkala subuh hampir berlalu. Bukan satu tamparan, tetapi kejutan laksana renjatan elektrik ke seluruh nadi dan saraf.

Kami tersedar, semua yang dikejar di dunia ini mempunyai satu persamaan. Kereta mewah, pakaian berjenama dan mahal, tas tangan pelbagai bentuk dan rupa, hatta anak-anak yang menjadi kebanggaan ibu bapa, semua bersifat SEMENTARA. Semua nikmat akan diragut dari kita, tatkala MAUT berada di halkum. Tatkala talkin dibaca, hanya amalan baik, seberapa kecil dan sedikit yang ada, itulah yang bakal membela diri dari dibantai dan dipalu oleh Malaikat Mungkar dan Nangkir.

Astaghfirullah... Saya berlindung dari Allah dari sifat RIAK dan UJUB. Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul khatimah... 

Terlalu banyak nikmat Allah yang kita hirup saban hari. Terlalu banyak masa kita dibazirkan untuk mengejar sesuatu yang tidak kekal. Terlalu banyak hari yang berlalu tanpa kita ucapkan syukur padaNya.. syukur dari hati, bukan sekadar ucapan di bibir... 

Ibadah haji adalah kemuncak penghambaan seorang HAMBA kepada RABBnya.. Allah tidak perlukan pengorbanan masa, wang ringgit dan tenaga dari kita. Tanpa kita menyembahNya, Allah tetap HEBAT! Kitalah yang amat memerlukan DIA. Tanpa DIA kita TIADA! Tiada nilai, tiada tempat di bumi Allah ini, tiada kesudahan yang baik bagi kita.

Saya menyeru dan mengingatkan diri saya sendiri, agar sentiasa meletakkan REDHA ALLAH sebagai matlamat hidup. THE ONE AND ONLY GOAL IN LIFE. Semua yang lain bukanlah matlamat hidup kita yang penting. 

LET US VOW that from this day on, we will be the BEST Muslim, the BEST human being, the BEST servant to Allah. We never know when the time is up. Better late than never is only true to a certain extend, as we can never know when is "late"? Setahun sebelum pergi menemui Allah? Sebulan? Sehari? Atau mungkin 5 minit sebelum Izrail datang memanggil. Cukupkah taubat selama beberapa detik untuk menghapus dosa beberapa dekad? 

ALLAHU AKBAR! 

Doakan kami mendapat haji mabrur dan dipermudahkan segala urusan, in shaa Allah. Inilah jihad terbesar bagi seorang wanita... We answered YOUR calling, only for YOU oh ALLAH... 

Labbaikallahumma labbaik.... 

2 Zulhijjah 1434H

1 comment:

  1. Seronoknya dapat jejakkan kaki ke tanah suci. InsyaAllah saya berazam mahu ke sana juga one day. Amin..^^

    ReplyDelete