Tuesday, 30 January 2024

Koh Lipe - kunjungan semula selepas 11 tahun

 Pertama kali kami menjejakkan kaki ke Koh Lipe adalah semasa kami meraikan ulangtahun hari kelahiran kami pada tahun 2013. Diam tak diam sudah 10 tahun berlalu. 

Pada hari lahir kami tahun lepas, kami tidak dapat ke mana-mana kerana anak sulung kami sedang sibuk menyiapkan diri untuk SPM. Kebetulan ada beberapa orang kawan-kawan yang sama-sama mendaki Gunung Kinabalu, mengajak kami menyelam di Koh Lipe pada Januari 2024. Maka kami pun memutuskan untuk menyertai percutian ini. 

Pada mulanya memang agak gementar, kerana sudah lebih setahun sejak saya dan suami mendapatkan lessen “Open Water Diver” kami di Mabul, Sabah iaitu pada Disember 2022. Namun, kerana 25-28 Januari ini sahaja waktu yang kami dapat melancong sebentar sebelum anak kami menyambung perjuangannya dalam SPM, kami nekad menempah tiket penerbangan dan sebagainya. 

Kami menaiki penerbangan MAS dari KLIA ke Langkawi pada Khamis 25 Januari (Hari Thaipusam) seawal pukul 9 pagi. Alhamdulillah penerbangan lancar, dan kami sampai di Langkawi pada masa yang ditetapkan. Jam 12 tengahari, selepas selesai makan tengahari, kami bertolak ke Jeti Kuah dengan menaiki teksi van, dengan tambang RM64 sahaja. Pada mulanya harga yang diletakkan adalah RM80, tetapi sahabat kami Dr Ian, menyemak harga dengan Grab, dan mendapati harga lebih murah, pemandu teksi pun bersetuju memberikan kami harga yang sama. 

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi atau Langkawi International Airport (LIA) ke Jeti Kuah mengambil masa setengah jam. 



Sampai sahaja di Jeti Kuah, anda perlu naik ke tingkat satu iaitu bilik khas untuk mendaftar dan mendapatkan visa on arrival ke Thailand. Di sini anda perlu mengisi borang visa dan anda akan diberikan pelekat yang perlu dilekatkan di baju anda. Tiket feri kami dapatkan secara atas talian, dengan harga RM345 seorang. Pastikan anda mencetak tiket feri anda ya kerana tiket di dalam telefon tidak diterima di sini. 

Selesai mendaftar, kami terus ke balai pelepasan antarabangsa, di mana anda akan melalui pemeriksaan keselamatan seperti di lapangan terbang, dan melalui kaunter Imigresen. 


Semasa menunggu feri sampai, semua passport akan dikutip oleh pihak pengusaha feri, bagi mengelakkan para penumpang kehilangan passport, kerana kami akan menaiki feri, kemudian bot kecil yang akan membawa kami dari feri ke jeti tepi pantai. 

Walaupun feri kami agak terlewat sedikit, perjalanan lancar. Jika tahun 2013 kami ke Koh Lipe melalui jeti Telaga dan menaiki bot laju , dengan perjalanan umpama roller coaster, kali ini perjalanan dengan menaiki feri amat selesa. Apatah lagi ada tayangan movie Avengers dipasangkan. Tak sempat movie habis, kami pun sampai ke Koh Lipe. Perjalanan mengambil masa 1 jam 30 minit. 


Sampai sahaja di Koh Lipe, kami beratur di kaunter tiket feri, di mana petugas akan memeriksa tiket pulang, dan memulangkan passport kami. Kemudian kami ke kaunter Imigresen Thailand. 




Langkah seterusnya adalah membayar fi Taman Negara Koh Lipe iaitu 200 baht seorang bagi pelancong asing seperti kami. Selesai semua ini barulah kami dibawa ke hotel kami. Jangan risau jika ada beg besar, ada petugas dari hotel yang akan tolong membawakan beg-beg anda dari kaunter Imigresen, ke kaunter check in hotel, hinggalah ke bilik hotel. 

Alhamdulillah kami mendapat bilik yang selesa, tidak terlalu jauh dari tempat makan. Walaupun saiz bilik agak kecil, katilnya selesa dan yang paling penting, pemanas air di bilik mandi berfungsi dengan baik. 

 



Selesai kami solat jamak Zuhr dan Asar, kami terus ke Koh Lipe Diving School yang terletak di Walking Street untuk mendaftar aktiviti selaman kami sepanjang percutian kami ini. Oleh kerana saya dan suami sudah lebih setahun tidak menyelam, kami memilih untuk mengambil refresher course yang berharga 500 baht seorang. Untuk 6 selaman , termasuk sewaan peralatan dan guide pula adalah lebih kurang 8870 baht seorang . 1000 baht akan diambil sebagai deposit , dan akan dikembalikan selepas semua peralatan dikembalikan . 

 

Semasa mencuba pakaian wet suit, saya tak sangka saya terpaksa memakai saiz XS! Sedangkan setahun yang lalu saya memakai saiz M. Suami saya pula dari saiz L kini memakai saiz M. Alhamdulillah terima kasih kepada TR90. 

 



Selesai urusan, kami mencari makan malam. Di Koh Lipe memang ada banyak kedai makanan halal. Untuk hari pertama ini, kami mencuba makanan ala carte di salah sebuah restoran. Mee daging saya berharga 140 baht, nasi dengan ayam suami saya pula 120 baht. 





Malam itu kami sempat berjalan-jalan menikmati keindahan malam di Koh Lipe sambil ditemani cahaya bulan , sebelum masuk beradu awal, menyimpan tenaga untuk menyelam keesokan harinya. 

Monday, 25 December 2023

Ibu mertua ku tak pernah suruh siang ikan


Ini ibu mertua saya. Orangnya memang cantik , bergaya, tapi apa yang membuat saya hormat pada beliau bukan status beliau sebagai isteri pegawai polis atau pangkat Datin. Tetapi mentaliti beliau yang sangat mantap. 


Semasa kami masih bertunang lagi, Ibu pernah beritahu kami berdua, 

1) “Aisyah jangan bayar bil di rumah , itu tanggungjawab suami”

2) “Hafiz kena sediakan pembantu rumah untuk Aisyah, Aisyah nanti bekerja”

3) “Hafiz jangan sampai Ibu nampak Aisyah cuci tandas. Itu bukan tugas seorang isteri”. 


Setelah kami bernikah, saya nak sambung belajar peringkat sarjana, Ibu dan arwah Abah yang menjadi penjamin. 


Saya nak exam, Ibu telefon beritahu “ kalau Aisyah nak study, Aisyah hantar je anak-anak ke rumah Ibu “. 


Bab makan, Ibu bukan sahaja baik kepada saya dengan tidak meletakkan expectation yang bukan-bukan, beliau telah melatih anaknya iaitu suami saya, menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab memberi makan anak isteri , dari peringkat beli barang dapur hinggalah bab tidak cerewet bab makan. 


Ada masa saya masak, banyak masa saya tak masak. Pergi balik kerja saya pun dah lebih 2 jam, tak ada masa nak masak. Sekarang kami ambil perkhidmatan mangkuk tingkat sahaja. 


Kalau balik ke rumah beliau, beliau tak pernah minta saya masuk dapur. Nak raya sahaja kita akan masak sama-sama. Saya masak lodeh , Ibu masak rendang . 


Bab siang ikan, tak pernah timbul. Kita beli saja di kedai yang ada perkhidmatan siang ikan. 


Mak Ayah saya memang insan paling saya sayang di dunia, tetapi saya bercita-cita mendidik anak-anak lelaki saya, sebagaimana ibu mertua saya mendidik suami saya. 


Bagi saya, ibu mertua saya lambang wanita yang lahir tahun 1950an tetapi berjaya memusnahkan budaya patriaki dalam keluarganya. 


Adakah ia menyebabkan saya tak hormat suami? 


In the contrary, saya jadi bukan sahaja hormat suami tetapi saya sayang ibu mertua saya dan suka balik rumah beliau. Malah kadang saya yang ajak suami balik rumah Ibu. 


Tahun 2023 dah nak berakhir. Kalau ada yang masih merasakan tempat wanita di dapur menyiang ikan , saya cadangkan binalah time machine dan kembali ke abad yang lalu.


#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita 




Wednesday, 29 November 2023

Pemandu Grab yang memahami

 Semalam saya ada seorang pesakit perlu dirawat di hospital. Atas sebab tertentu, saya terpaksa pulang dengan menaiki Grab. 


Dalam perjalanan, saya meminta tolong pemandu saya, Lim untuk berhenti di Petronas untuk membeli aiskrim untuk anak-anak.


Baik sungguh Lim, bukan sahaja beliau sanggup berhenti, malah tolong pegangkan aiskrim sementara saya ambil makanan lain dan beri tisu pada saya, takut tangan sejuk memegang aiskrim sepanjang perjalanan pulang. 


Dalam kereta kami bersembang. Saya bertanya adakah beliau memandu Grab sepenuh masa? 


Beliau bercerita, dahulu beliau seorang pereka grafik. Tetapi kemudian berhenti dan memandu Grab sepenuhnya masa. 


Saya pun bercerita tentang anak ke dua saya yang sangat pandai melukis. Saya menggalakkan dia mengambil jurusan pereka grafik tetapi tak sangka dia nak belajar perubatan.  Katanya dia mahu melukis sebagai hobi sahaja, bukan sebagai kerjaya.


Lim memuji anak saya. Kata-kata beliau sangat menyentuh hati saya.


“Saya rasa anak you ada fikiran yang bagus. Sebab apa yang paling penting dalam pekerjaan, bukan kerja itu. Kita kerja apa pun boleh buat duit. Tetapi yang lebih penting adalah passion. Passion yang akan membuat kita happy dengan apa yang kita buat.”


Ma Shaa Allah. Kagum saya. 


Sudah lah fasih berbahasa Melayu, peramah, malah sangat berminda terbuka. 


Terus saya pun teringat ketika saya bertanya anak, kenapa nak belajar perubatan?


Jawabnya, “sebab nampak Ummi setiap hari pergi kerja happy je. Tempat kerja Ummi punya lah jauh. Tapi Ummi happy je.” 


Ya, sebab saya cintakan kerjaya saya Alhamdulillah. 


Passion over money. 


Kita patut bersyukur kalau ketika ini kita ada kerjaya yang kita suka, dan Alhamdulillah melaluinya kita dapat lalui kehidupan dengan baik dengan rezeki yang mencukupi. 


Betul juga, kalau gaji banyak pun tapi hati tak bahagia, susah juga kan. 

(Kerja teruk, gaji teruk lagi lah merana kecuali tahap kesabaran tinggi 😅)


In Shaa Allah let us encourage our children to do what they are passionate about as long as it adhere to the shariah. 


What a great and refreshing  conversation on a Sunday afternoon.


#drazlindarita 

#kisahkehidupanDrAzlindarita




Sunday, 17 September 2023

Wanita berkerjaya berlagak?

 "Wanita berkerjaya berlagak" 


Amboi statement. 


Alhamdulillah dah bekerja sejak tahun 2004 hingga sekarang. Tak pernah lagi Encik Suami kata saya berlagak.  


Makin lama makin manjaaah, lagi.


Hahaaa berlagak tak statement saya 😂 


Iyalah manja dengan suami sendiri. Bukan dengan suami orang kan. 


Saya tak nak jawab bagi pihak orang lain. Tetapi nak jawab bagi diri saya. 


1) Kami sama-sama doktor, sebelum bernikah pun dah tahu masing-masing ambil medic. Degree pun sama. Nak berlagak apa kan?


2) Saya ambil Masters, suami saya tidak. Ini pilihan beliau. Saya hormati dan syukuri keputusan beliau. Saya rasa kalau kami dua-dua sambung belajar, dengan anak 3 orang ketika itu, mungkin kami tak survive. 


3) Setiap kejayaan saya, suami saya penyokong nombor satu saya. Pada bila-bila masa saya rasa ragu-ragu, beliau sentiasa kata, "I KNOW you can do it. " Keyakinan beliau kadang melebihi kepercayaan diri saya sendiri.


4) Saya mungkin berpangkat tinggi di hospital, tetapi balik di rumah, saya wajib patuh setiap arahan beliau, hatta sekecil-kecil permintaan, suruh buat kopi. Saya pernah minta balik awal dari boss besar saya, pada hari Sabtu (selepas waktu pejabat), sebab suami saya nak balik dah. Saya kena buat kopi untuk dia. Patriarchal? Mungkin. Tetapi saya yakin keredhaan Allah itu terletak pada redha suami yang soleh. 


5) Alhamdulillah suami saya adalah kiriman Allah, hasil doa Mama Ayah saya di Mekah semasa mereka menunaikan haji tahun 2001. Waktu itu ramai yang masuk meminang, tetapi saya memilih untuk istikharah dan berdoa. Allah pilih untuk saya. Saya yakin pilihan Allah itu yang terbaik. 


Ya. 


Kami pun tak sempurna. 


Tipulah kalau tak pernah gaduh, merajuk dan sebagainya. 


Dah 20 tahun bernikah kot.


Tetapi sebagaimana saya letak tingginya Mama Ayah di mata saya, kerana syurga saya dahulu terletak di bawah tapak kaki Mama, begitu juga saya melatih diri meletakkan suami saya sebagai kunci syurga, selepas patuh kepada Allah dan Rasulullah. 


Berlagak kerana berkerjaya? 


Kalau suami tak izinkan, kita wanita berkerjaya, langsung tak boleh bekerja pun kan? 


Jadi saya rasa tidak timbul soal berlagak atau tidak, terutamanya bagi pasangan yang sudah bernikah.


Paling penting harus ingat, setiap yang kita lakukan, adalah untuk mendapat redha Allah. 


Dan suami yang baik adalah yang dapat mendidik isteri agar sentiasa meletakkan matlamat ini dalam hidup berumahtangga, sama ada isteri itu berkerjaya atau tidak. 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Tak pandai masak, pandai buat kopi untuk suami saja. 


#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita


Monday, 11 September 2023

Impian mendaki Gunung Kinabalu yang tercapai!

 Impian jadi kenyataan. 


Alhamdulillah hari ini dalam sejarah, 11 September 2023, saya dapat mencapai salah satu cita-cita saya iaitu mendaki Gunung Kinabalu. 


Pastinya ia bukan satu perjalanan yang mudah. 


Bermula dari menyemai azam pada September 2022, mendaftar pada November 2022 untuk pendakian Jun 2023. Takdir Allah kumpulan itu dibubarkan 4 minggu sebelum penerbangan, sedangkan saya sudah bersedia dari segi fizikal dan sudah membeli peralatan. 


Alhamdulillah ditakdirkan ada sahabat saya Fadly Khairi juga merancang pendakian ke Kinabalu pada bulan September. Saya cuba menyertai kumpulan beliau, tetapi sudah penuh. 


Saya nekad, cuba mendapatkan tarikh pendakian yang sama, melalui agensi pelancongan yang biasa saya gunakan.


Alhamdulillah dapat! Saya terus mendaftar untuk saya dan hiking buddy saya. 


Saya terus berlatih ke Gunung Angsi, Gunung Datuk, Gunung Ledang , Twin Peaks dan terakhir Gunung Nuang. 


Ujian datang lagi, sebulan sebelum tarikh pendakian, saya terkena sakit belakang akibat annular tear pada disc tulang belakang. Pakar Neuro kata kerana terlalu banyak hiking dan mungkin ada jatuh semasa hiking. Saya rasa ada juga faktor saya banyak buat pembedahan mata sambil duduk terlalu lama. 


Apa pun, sejak 5 Ogos 2023, saya dinasihatkan untuk tidak hiking langsung untuk mengelakkan kecederaan yang lebih teruk. Mahu tidak mahu saya hanya berlatih di gym dengan jurulatih peribadi saya. 


Pesanan doktor, saya boleh mendaki Kinabalu jika tiada rasa sakit. Beliau berkata, " Awak cuba naik sampai Panalaban. Kalau awak rasa OK, boleh teruskan. Kalau tak, jangan teruskan sebab pendakian dari Panalaban ke puncak itu sangat mencabar. Banyak guna tali." 


Saya patuhi nasihat doktor.

Saya hadiri sesi fisioterapi. 

Saya berehat dari hiking. 


Namun hampir sahaja trip saya ini tidak jadi, kerana hiking buddy saya tiba-tiba tidak sihat dan menarik diri.


Suami saya agak bimbang saya pergi sendirian.


Saya terus berdoa agar Allah permudahkan semuanya. Alhamdulillah kumpulan Fadly itu rupanya ada 8 orang, 6 orang daripadanya perempuan. Semua sporting pula tu! 


Maka akhirnya suami pun membenarkan saya pergi dengan rela hati.


In Shaa Allah lain kali saya ceritakan pengalaman pendakian saya.


Hari ini saya ingin berterima kasih kepada semua yang membantu dalam menjayakan pendakian ini. 


Alhamdulillah. I cherish each and everyone of you ❤️ 


And guys, dreams do come true if you BELIEVE in it and you work for it. 


Alhamdulillah. I did it! 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Gunung Kinabalu 





#drazlindarita

#hiker

#thehikingdoctor 

#Ophthalmologist

#kisahkehidupanDrAzlindarita

Tuesday, 5 September 2023

Bercuti bersama warga emas dan anak-anak

 Bercuti dengan warga emas dan anak-anak.


Kisahnya bermula, awal tahun yang lalu ada seorang ahli keluarga kami bercuti ke Pulau Perhentian. 


Semasa saya menelefon Mama, Mama bercerita tentang percutian ahli keluarga kami itu. Saya pun cakap, " Mak, kami in shaa Allah nak pergi Pulau Lang Tengah bulan 9 nanti.  Mama nak ikut ke?".


Mama pantas menjawab," Hmmm.. Nak lah. Dah lama tak pergi pulau. Pulau di Terengganu tak pernah pergi seumur hidup. Pernah pergi Tioman saja masa kau masih di Ireland."


Terkejut saya mendengar jawapan Mama yang beliau tak pernah melihat keindahan pulau di Terengganu. 


Maka selepas mendapat persetujuan suami, saya pun menempah penerbangan dan hotel. Pastinya saya tidak lupa menempah perkhidmatan kerusi roda dari Malaysia Airlines yang disediakan percuma. 


Kami turut mengajak mertua saya, namun beliau tidak berkelapangan untuk turut serta. 


Jujurnya, saya gementar menjelang percutian kami. 


Bolehkah saya tangani anak-anak 4 orang dan kedua-dua orang tua saya yang hampir 80 tahun? 


Namun Alhamdulillah ternyata Allah permudahkan. 


Tema pelancongan kami kali ini adalah "bersabar".


Ujian pertama hadir apabila Uwais secara tidak sengaja terbawa gunting di dalam beg. 


Maka kami tersangkut lama di bahagian keselamatan KLIA. Mama dan Ayah sudah laju menuju ke Balai Berlepas, ditolak dengan kerusi roda oleh staff MAS. 


Kami pula harus solat Subuh dahulu.  Mama dan Ayah yang sudah tiba di KLIA lebih awal, telah selesai solat di luar lagi. 


Selesai solat, kami ke pintu Balai Berlepas. 


Tapi Mama dan Ayah tiada! 


Saya mula gelabah. Takkan mereka salah hantar kot? 


Penumpang lain sudah mula boarding. 


Saya pun menelefon Mama. 


Rupanya Mama dan Ayah sudah di dalam pesawat! Ma Shaa Allah hebat perkhidmatan MAS. 


Dari situ, hinggalah perjalanan ke pulau, percutian kami berjalan lancar. 


Yang paling saya tidak sangka adalah Mama dan Ayah nak ikut kami pergi snorkeling ke Pulau Redang! Malah Ayah sempat snorkeling dua kali. 


Mama pula sempat belajar snorkeling di hadapan resort kami. Mama dah tak berapa kuat, jadi takut dipukul ombak, Mama berpaut saja dengan tiang jeti dan gunakan topeng snorkel untuk melihat ikan-ikan di dalam laut. Comel kan?


Walaupun saya tidak pernah menyebut kepada anak-anak," Tengok macamana Ummi layan Mak Tuk dan Atuk. Nanti Ummi Abi dah tua you all kena jaga Ummi Abi macam ni tau", tetapi apabila melihat cara anak-anak kami menyantuni datuk dan nenek mereka, alhamdulillah sejuk hati kami. 


Terutamanya Umar, yang rajin memimpin Atuknya. 


Suami saya juga melayan Mama dan Ayah seperti beliau melayan ibubapa kandungnya. 


Alhamdulillah.


Saya amat bersyukur dengan pengalaman ini. 


Sebelum berpisah selepas tiba di KLIA semula, saya memohon maaf kepada Mama dan Ayah jika ada terkasar bahasa. 


Pastinya satu pengalaman berharga buat kami semua, terutamanya anak-anak, dapat bercuti bersama Atuk dan Mak Tuk. 


Mudah-mudahan ada rezeki untuk kami pergi bercuti lagi, walaupun terdengar Mak mengadu dengan abang saya dalam telefon, " Ya Allah Jaaak. Naik kapalterbang kejap je 40 minit. Lama lagi naik bot. Dalam bot tadi Mama dah tawakkal je pada Allah. Ombak kuat!" 


Hahahaha. 


Masa dalam bot nampak cool saja Mama. Rupanya dalam hati seram juga ya. 


Kita tunggu hilang seram, nanti kita ajak lagi ya. 


😆 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Siapalah saya tanpa Mama dan Ayah


#drazlindarita

#drazlindaritatravels

#kisahkehidupanDrAzlindarita