Perjalanan dengan keretapi subway (Metro) dan JR mengambil masa hampir satu jam dari apartment kami di Yoyogikoen ke stesen Maihama iaitu Disney Resort line, dengan pertukaran beberapa kali. Maklumlah
orang tua, jalan pun perlahan. Insaf saya melihat kedua-dua orang tua saya berjalan perlahan-lahan di tengah-tengah kesibukan orang Jepun yang berpusu-pusu ke tempat kerja. Satu hari jika dipanjangkan usia, saya juga akan sebegitu. Inilah masa dan ketika Allah menguji kesabaran saya untuk menjaga kedua ibu bapa saya. Mujur juga saya mempunyai adik ipar, Elena, yang telah menyiapkan jadual perjalanan yang lengkap untuk kami, kerana memang beliau mahir dengan selok belok di Tokyo kerana lebih 4 tahun di sini dahulu. Kos dari Yoyogi ke Maihama adalah Y330 sahaja untuk seorang dewasa, satu hala.
Kami tiba di stesen Maihama pada jam 9.30 pagi. Ada dua pilihan iaitu ke Disneyland atau ke DisneySea yang baru. Saya pernah ke Disneyland Tokyo ini pada tahun 2002 dahulu, dan ada juga berniat untuk ke DisneySea. Tetapi Mama Ayah yang tidak pernah menjejakkan kaki langsung ke Disneyland, berhajat ke sana, jadi saya turutkan sahaja.
Tempat membeli tiket. Alhamdulillah beratur tidak lama. |
Bayaran masuk adalah Y6400 untuk dewasa, dan Y5700 untuk warga emas melebihi 60 tahun. Beg kami diperiksa semasa masuk untuk memastikan kami tidak membawa sebarang makanan. Elena awal-awal sudah berpesan untuk membungkus makanan, dan membalut dengan pakaian atau sejadah. Alhamdulillah terlepas nasi goreng kami :) Ada rezeki kami untuk makan tengahari nanti.
Di sambut dengan Robin Hood |
Goofy |
Donald Duck (He is really short! I was wondering if it's a child in this costum!) |
Oleh kerana Mama dan Ayah memang tidak berniat untuk bermain apa-apa, saya gunakan tiket mereka untuk mendapatkan Fast Pass iaitu "pasport segera" untuk bermain. Ada beberapa "ride" yang menarik bagi saya iaitu Space Mountain, Big Thunder Mountain dan Splash Mountain. 3 ride ini memang menjadi buruan peminat roller coaster. Selepas mendapatkan Fast Pass untuk Space Mountain & Star Wars ride yang bersebelahan, saya bergegas kembali ke Grand Bazaar di mana Mama Ayah berehat seketika sambil menikmati nasi goreng yang dibawa. Terkejut saya melihat Fast Pass Space Mountain yang saya ambil pada pukul 10.40pagi, hanya boleh dimainkan pada puku 3.10 petang! That is how popular the ride is! Kalau nak beratur, memang akan ambil masa 1-2 jam lah!
Alhamdulillah jam 11 pagi kami berpeluang menyaksikan perarakan Easter oleh karakter-karakter Disney seperti Mickey Mouse, Donald Duck, Goofy dan sebagainya. Entah kenapa di saat gembira, saya menahan sebak dan menyeka air mata kerana teringat permata hati bertiga di rumah. Andai mereka ada bersama saya, pasti sudah terlompat-lompat mereka kegirangan.
Selesai perarakan, saya tinggalkan seketika Mama Ayah di Westernland untuk bermain Star Wars ride yang merupakan simulasi 3D. Yang kurang seronok adalah story teller adalah dalam bahasa Jepun. Saya rasa ride ini biasa sahaja, malah Transformers 3D ride di Universal Studio Singapore lebih mengujakan bagi saya. Untuk beratur selama sejam bagi ride ini tanpa Fast Pass saya kira agak kurang berbaloi.
Tengahari saya, Mama dan Ayah bersantai di Westernland, dan Alhamdulillah ada petugas yang menunjukkan kawasan yang kami boleh bersolat. Kawasan itu bukanlah bilik khas, hanya satu kawasan lapang yang agak tertutup, tetapi bersih. Hanya hamparkan sejadah, dan bersolat menghadap kiblat selepas berwudhu di tandas, Alhamdulillah terlaksana tanggungjawab sebagai seorang hamba.
Mickey Mouse shaped ice cream! |
Perarakan jam 2 petang terpaksa dibatalkan kerana angin kuat, membahayakan karakter yang akan berdiri di atas kereta berhias yang tinggi. Jadi kami berjalan-jalan ke Fantasyland dan saya ajak Mama Ayah menaiki cruise It's A Small World, yang waktu menunggunya hanyalah 15 minit, berbanding ride lain yang waktu menunggu mencecah 2.5 jam! Satu tiket hanya dibenarkan mengambil satu Fast Pass pada satu-satu masa. Memandangkan saya masih ada tiket Mama, saya bercadang untuk mengambil Fast Pass Big Thunder Mountain tetapi ternyata pada pukul 12.30 tengahari sudah SOLD OUT! Saya pun hairan terlalu ramai pengunjung dari bangsa Jepun sendiri, seolah-olah mereka semua tidak pernah ke Disneyland. Rupanya sekarang adalah musim cuti sekolah.
Jam 3 petang saya pergi menaiki Space Mountain sendirian. Entah kenapa saya ada anggapan bahawa Space Mountain ini yang paling menakutkan saya dahulu, tetapi ternyata menaiki kali kedua selepas yang pertama pada tahun 2002 dulu, kali ini kurang menakutkan. Masih mengujakan tapi tidak mengerikan.Had ketinggian permainan ini adalah 102cm, maka melihat anak-anak kecil yang selamba menaiki ride ini memberi keberanian kepada saya.
Jam 4 petang kami mula melangkah untuk pulang setelah Mama Ayah puas bergambar di sekitar Disneyland. Alhamdulillah Mama pun kata beliau berasa sangat seronok dan teruja dengan lawatan kami ke taman tema ini.
Kami berhenti seketika membeli cenderahati untuk yang tersayang di rumah. Saya kira cenderahati di sini harganya berpatutan, cuma saya tidak membeli terlalu banyak, khuatir beg lebih muatan. Satu bantal besar berbentuk kepala Mickey adalah Y2000 (lebih kurang RM65), 8 batang pen juga lebih kurang RM60. Boleh dibuat cenderahati untuk sahabat-sahabat di Malaysia
Oleh kerana Mama Ayah sudah terlalu letih, saya memutuskan untuk kami pulang menaiki teksi sahaja. Biarpun mahal, iaitu Y8500 atau hampir RM270, saya kira ia lebih baik berbanding melihat Mama Ayah naik turun tangga di stesen keretapi. Alhamdulillah gembira wajah Mama naik teksi, yang menghantar kami hingga ke pintu hadapan apartment kami.
Hidangan malam itu? Saya masak kari salmon bersama buncis. Habis licin kami makan, Alhamdulillah. Sememangnya dapat merasa masakan Malaysia di luar negara, memang satu nikmat yang tidak terhingga.
In shaa esok saya akan ke konferens untuk hari yang terakhir, kerana hari Ahad nanti semua seminar hanya dalam bahasa Jepun.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment