Perjalanan kami bermula seawal jam 6.30 pagi, kami bergerak dari apartment ke Shibuya, di mana bas akan menjemput kami di Cerulean Tower Hotel Tokyu pada jam 7.40. Walaupun Shibuya ini amat dekat dengan tempat tinggal kami, kami perlu menukar keretapi sekali. Pada waktu puncak iaitu waktu untuk orang ramai pergi kerja, semua stesen keretapi sangat penuh. Berlari-lari saya ke hotel itu, meninggalkan kedua orang tua saya berjalan dengan perlahan. Tekad saya, saya tahan dahulu bas itu daripada bergerak, kemudian saya akan menjemput Mama Ayah semula. Mujur Alhamdulillah tour guide masih menunggu kami walaupun jam sudah menunjukkan jam 7.42 pagi. Memang di sini semua orang sangat menepati waktu!
Dari Shibuya, kami bersama lebih 20 orang pelancong lain, dibawa ke sebuah stesen bas berdekatan Asakusa. Dari sana bas bertolak tepat jam 9.30 pagi.
Tokyo Tower |
Kawasan di luar dari Tokyo, rumah-rumah lebih besar berbanding di Tokyo |
Sepanjang perjalanan, tourist guide kami iaitu Atsuko memberi penerangan berkenaan bangunan dan kawasan yang kami lalui. Perjalanan dijangka mengambil masa 1 jam 30 minit . Menurut Atsuko, waktu musim bunga ini adalah musim paling sibuk di Tokyo dan seluruh Jepun, kerana cherry blossom atau musim bunga sakura ini hanya setahun sekali, dan adakalanya bunga sakura hanya bertahan selama 5 hari sahaja.
Pemandu pelancong kami, Atsuko memberi penerangan berkenaan cara minum teh semasa upacara teh. Beliau pernah tinggal di USA selama setahun, maka bahasa Inggeris beliau memang sangat fasih! |
Perjalanan kami yang berjalan lancar, memberi peluang kepada kami untuk melihat keindahan alam di luar kawasan Tokyo, iaitu di kawasan perkampungan. Kira-kira 10 minit sebelum kami sampai di perhentian pertama kami iaitu Mount Fuji Visitor Centre, gunung Fuji mula kelihatan. Ia kelihatan tersergam indah, hingga tanpa sedar tercetus dari bibir kami lafaz Subhanallah. Cantiknya tidak terungkap dengan kata-kata, dengan puncaknya dilitupi salji yang memutih.
Sebuah taman teman yang terletak di kaki gunung Fuji |
Menurut sejarah, kononnya Gunung Fuji ini adalah diambil nama sempena seorang puteri, yang diberi nama yang bermaksud "cantik seumpama bunga sakura yang mekar". Namun puteri ini juga mempunyai satu sifat yang ditakuti iaitu sangat garang. Dikatakan apabila puteri ini marah, ia umpama letusan gunung berapi, seperti yang pernah terjadi 300 tahun yang lalu. Oleh kerana itu warga Jepun sering berdoa agar "puteri" mereka ini sentiasa tenang dan tidak marah. Ketika letusan gunung Fuji yang merupakan sebuah gunung berapi , pada 300 tahun lalu, walaupun ia terletak lebih 100km daripada Tokyo, debu gunung berapi berterbangan hingga ke Tokyo, dan menyebabkan debu setinggi enam inci, meliputi seluruh Tokyo!
Bersama Mama Ayah di Visitor Centre |
Dari Visitor Centre, kami meneruskan perjalanan ke First Station yang terletak kira-kira 1000km di atas paras laut. Menurut Atsuko, dua hari sebelum kami tiba, salji masih lagi turun di sekitar gunung Fuji, dan telah berlaku avalance atau runtuhan salji, menyebabkan tiada kenderaan yang dibenarkan naik lebih tinggi daripada stesen pertama ini. Pengalaman ini bertambah indah, apabila Mama pertama kali melihat salji yang asli. Walaupun sudah beberapa kali ke luar negara, belum pernah lagi Mama melihat salji.
My dad took this lovely shot of Mount Fuji & me |
Semasa menuruni gunung Fuji, kami diberitahu bahawa jalan raya yang kami lalu akan "menyanyikan" sebuah lagu untuk kami. Pada mulanya kami terpinga-pinga juga. Rupanya jalan raya itu telah diletakkan garis-garis melintang, yang mana apabila bergeser dengan tayar kenderaan pada kelajuan 50km/jam, akan mengeluarkan bunyi yang indah. Saya turut berpeluang mendengar "nyanyian" itu, yang kedengaran seperti "humming". Subhanallah hebat sungguh akal yang dikurniakan Allah kepada orang Jepun ya!
Jam 12.30 tengahari, kami berhenti di sebuah hotel di kaki gunung Fuji untuk makan tengahari. Oleh kerana pakej yang kami ambil tidak menyediakan makan tengahari, kami berehat di lobi bawah hotel, untuk memakan bekalan makanan yang kami bawa iaitu nasi lemak sambal udang dan sandwich sardin. Selesai makan dan solat, kami bergambar di sekitar hotel ini, dengan latar belakang Gunung Fuji yang indah.
Sweet memory for them |
Mama pun nak buat aksi terbang hehe |
Seterusnya kami dibawa ke kawasan pergunungan Hakone iaitu kawasan percutian yang terkenal di kalangan warga Jepun. Hakone mempunyai beberapa puncak, dan kami dibawa ke atas puncak Komegatake dengan menaiki cable car atau digelar "rope-way". Teringat saya dengan seorang bayi Jepun yang sangat comel, tidak berkelip matanya melihat saya. Mungkin aneh bagi dia melihat seseorang yang memakai tudung. Atau mungkin juga dia terlihat malaikat di sisi saya :)
Pemandangan semasa menaiki cable car dan di kemuncak Gunung Komegatake memang terlalu menakjubkan. Menurut tourist guide kami, hanya sekali dalam setiap 20 kumpulan yang beliau bawa, berpeluang menyaksikan pemandangan yang indah ini, kerana cuaca cerah, memungkinkan kami untuk melihat hingga ke Lautan Pasifik, di belakang Tasik Ashi.
On the way up Mount Hakone |
Us at the peak of Komagatake, with Lake Ashi and the Pacific Ocean at the background |
Subhanallah the amazing view of Mount Fuji and Lake Ashi. Unfortunately due to the afternoon sun, it was quite impossible to capture a potrait with this background due to the lighting. |
Kami turut berpeluang merasa pelayaran atau cruise di Tasik Ashi dengan menaiki kapal Catamaran, selama 20 minit. Ketika ini saya merasa terlalu rindu dengan pasangan saya, kerana selalunya apabila kami bercuti bersama, kami memang suka menikmati saat romantis semasa menaiki cruise. Saya turut berpeluang berkenalan dengan seorang pakar mata dari negara Nepal, Dr Niyaz, dan isterinya Farhad, yang mana kedua-duanya adalah Islam
Bersama Atsuko sambil menunggu kapal kami tiba |
Lake Ashi |
Dari Hakone dan Tasik Ashi, kami terus dibawa ke sebuah stesyen keretapi untuk menaiki bullet train untuk pulang ke Tokyo. Di sini saya berkenalan pula dengan dua orang ahli rombongan kami iaitu Vicky dari UK, seorang penulis dari www.vickygoestravelling.wordpress.com yang melancong ke sini, dan seorang lagi iaitu Sherry dari Canada yang menemani anaknya yang bekerja sebagai model di Tokyo.
Tiket shinkansen atau bullet train ini telah termasuk di dalam pakej yang kami beli, dan perjalanan hanya mengambil masa selama 30 minit, dengan kelajuan 280km/jam! Subhanallah Ma shaa Allah saya memang sangat-sangat teruja dapat merasa menaiki keretapi terlaju di Jepun ini. In shaa Allah pada 2027, negara Jepun akan melancarkan satu lagi keretapi terlaju di dunia yang akan mencecah kelajuan 500km/jam, yang mana ketika meluncur, keretapi tidak akan mencecah landasan dan ia menggunakan kuasa magnet! Subhanallah, saya kagum dengan teknologi ini, tetapi ia membuatkan saya terfikir. Jika kenderaan selaju ini pun boleh dicipta oleh manusia, pastinya janji Allah ada golongan yang akan melintas titian Siratul Mustaqim sepantas kilat itu, adalah benar. Aduhai, andai boleh mendapat tunggangan untuk melintas titian Sirat tanpa perlu berjalan pun sudah beruntung, tidak perlu berjalan atau nauzubillah merangkak atau mengesot, apatah lagi nauzubillah ada di kalangan kita yang terjatuh ke dalam neraka :(
Tiba di stesen Shinagawa, kami turun dan menaiki Yamanote Line ke stesen Shibuya, dengan tiket yang sama (tidak perlu membeli tiket lain). Dari Shibuya, Mama Ayah yang sudah keletihan, memohon agar kami pulang menaiki teksi sahaja, dan mujur juga tambangnya tidak terlalu mahal iaitu RM30 sahaja.
Alhamdulillah pengalaman ke Gunung Fuji memang amat berharga buat kami semua. Pemandangan yang indah membuat kami berasa lebih dekat denganNya. Subhanallah bagi Tuhan yang menciptakan semua ini, tidak lain adalah untuk manusia, sebaik-baik ciptaan.
In shaa Allah entri selepas ini adalah entri terakhir di mana saya akan kongsikan pengalaman ke Senso-Ji di Asakusa, Ueno Park dan juga Shibuya.
Sampai bertemu lagi..
Bersambung.
Salam, kami adalah pelajar Malaysia yang menetap di Jepun. Kami menawarkan perkhidmatan Tour Guide, Penginapan Guest House dan juga Pakej Budget dengan harga yg murah. Misi kami adalah untuk membantu rakyat Malaysia melancong ke Jepun sambil dapat mempelajari budaya masyarakat Jepun.
ReplyDeleteSila hubungi melalui :
Website : http://www.melancongkejepun.com/
Facebook : Melancong Ke Jepun
Phone : +818088695448 (Adib, Tokyo)
Email : melancongkejepun@gmail.com