Friday, 11 April 2014

Tokyo 2014, A Cherry Blossom Story (Part 8: Senso-Ji, Akasuka, Ueno Park & Harajuku)

Tinggal dua hari lagi di Tokyo.

Letih dari berjalan ke Mount Fuji semalam masih terasa, tetapi memandangkan ada banyak lagi tempat-tempat dalam "check-list" saya belum tercapai, saya gagahkan diri jua untuk keluar rumah. Hari ini, Selasa 8 April, Mama Ayah masih ingin berehat, jadi saya berjalan sendirian sahaja

Alhamdulillah cuaca cukup cerah, hingga mencecah 20 darjah celcius. Destinasi saya yang pertama adalah Asakusa yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan subway Ginza Line. Apa yang menarik di sini adalah Senso-Ji iaitu temple atau kuil Buddha tertua di Tokyo. Ia bermula dari tahun 628 lagi apabila dua orang nelayan menemui sebuah patung Buddha semasa memancing, dan ketua kampung mereka berpendapat ia adalah sebuah patung yang bermakna, maka sebuah kuil didirikan. Walaupun kuil asal sudah berusia lebih 1500 tahun, tetapi semasa perang dunia ke dua, kuil ini telah musnah, dan telah dibina semula 60 tahun yang lalu. 

Saya datang ke sini untuk merasai pengalaman menaiki beca tradisional mereka di sekeliling Asakusa ini, dengan pemandangan Tokyo Skytree tower yang cantik, sakura, dan pastinya Senso-Ji. Penarik beca saya sudah berusia 62 tahun tetapi masih kuat! Bayarannya agak mahal iaitu Y5000 tetapi saya rasa ia pengalaman yang berbaloi. 




With the background Tokyo Skytree tower

My 62 years old rickshaw man!


A special ceremony for the shrine

Senso-Ji



They bathe the little Buddha statue as it is his birthday


Sakura at Senso-Ji





Selesai bergambar di sekitar Senso-Ji, saya berjalan-jalan di sekitar Asakusa, dan Alhamdulillah terjumpa sebuah restoran India bernama Taj Mahal yang menyediakan makanan halal iaitu kari ayam dan roti nan.



This costed Yen 1080

Sempat juga saya bershopping serba sedikit di Souvenir Street di hadapan Senso-Ji. Harga cenderahati di sini agak mahal sedikit berbanding Akihabara, tetapi masih murah berbanding tempat-tempat pelancongan seperti di Hakone. Yang istimewanya, kebanyakan kedai kecil di sini menerima bayaran dengan kad kredit.







Dari Asakusa, saya menaiki Ginza Line sekali lagi dan singgah sebentar di Ueno Park, iaitu salah satu tempat tumpuan untuk menyaksikan bunga sakura. Saya dapat bayangkan keindahan taman ini andai sakura sedang mekar, namun sayangnya kebanyakan sakura sudahpun gugur di taman ini. Mujur kami sempat menyaksikan sakura yang indah di Gyeon Park tempoh hari.









Dari Ueno Park, saya menaiki Ginza Line hingga ke hentian Ometo Sando (G02) untuk bertukar ke Chiyoda Line dan pulang ke Yoyogikoen. Di sana, kedua-dua Mama dan Ayah sudah sedia menanti, untuk kami menziarahi seorang warga Malaysia yang sudah lama bermastautin di Tokyo iaitu Zizie Aziz. Kisahnya Mama Ayah terserempak dengan kakak ni semasa membeli sayur, tambahan pula kak Zizie ini peramah. Kata kak Zizie, wajah Ayah saling tak tumpah macam Abah beliau. 

Kak Zizie tinggal di Shibuya ini sejak setahun yang lalu. Beliau berkahwin denga warga Jepun, dan dikurniakan seorang cahayamata. Alhamdulillah rezeki kami bertandang dijamu dengan kuih bakar, karipap, bihun goreng dan tauhu sumbat istimewa. Suami kak Zizie pun fasih berbahasa Melayu, dan peramah juga :)




Pemandangan dari balkoni rumah Kak Zizie







Dari rumah kak Zizie, kami dibawa berjalan-jalan di Harajuku iaitu pusat fesyen Tokyo. Meriah sungguh suasana di Harajuku, dan kenangan paling lucu ialah apabila bertemu Spiderman cilik yang comel! Tumpuan utama kami di sini? Pastinya Daiso atau kedai 100 Yen di mana majoriti barang-barang di sini berharga 100 Yen! Rambang mata saya dibuatnya! Alat tulis, alat permainan, alat memasak dan sebagainya memang sangat menarik! Alhamdulillah mujur sempat saya bawa mengucap & lawan nafsu shopping yang mengamuk! Haha!










Kami pulang ke rumah jam 8 malam dengan menaiki teksi, dengan bayaran RM30 sahaja. Cukuplah shopping di Jepun, masa untuk packing barang sebagai persediaan untuk pulang ke Malaysia esok  hari in shaa Allah.

Keesokkan harinya, hari terakhir kami di Tokyo, kami menaiki bas ke Shibuya, yang terletak hanya 10 minit perjalanan dari apartment kami. Apa yang istimewa tentang Shibuya? Di sinilah terletaknya lintasan jalan raya atau crossing paling sibuk di dunia. Kami tiba di situ kira-kira jam 11 pagi, jadi tidak terlalu ramai orang yang lalu lintas di situ, tetapi menjelang waktu makan tengahari iaitu pukul 12, lalu lintas semakin sibuk. 






Di sini juga terletaknya patung anjing Hachiko yang setia. Anjing ini menunggu tuannya pulang dari tempat kerja setiap hari, hinggalah tuannya meninggal dunia, anjing ini tetap setia menanti, hinggalah 10 tahun kemudian apabila ia pula yang kembali kepada Penciptanya. Patung Hachiko ini menjadi satu landmark penting di Shibuya ini dan saya ingat ia pernah dijadikan salah satu check point semasa Amazing Race.


Di Shibuya terdapat banyak kedai-kedai berjenama seperti Zara, Disney Store dan sebagainya. Bagi yang kurang puas berbelanja di Disneyland, bolehlah singgah di kedai ini untuk membeli cenderahati buat anak-anak. Di tingkat tiga kedai ini, terdapat satu bahagian yang menawarkan 50% diskaun untuk produk-produk Disney termasuk baju, payung, alat tulis dan anak patung.





Kami bergerak pulang jam 12.30 tengahari, untuk bersiap dan mengemas barang-barang, sebelum pulang ke Malaysia dengan menaiki Air Asia melalui Lapanganterbang Antarabangsa Haneda. 

Pengalaman berkunjung ke negara matahari terbit ini pastinya menjadi satu kenangan yang terindah buat saya, Mama dan Ayah. Kesopanan penduduknya, kecanggihan teknologi, kebersihan kawasan sekitar Tokyo dan keindahan alamnya, pasti abadi dalam ingatan kami hingga ke akhir hayat kami. 


1 comment: